Wednesday, November 8, 2017

LIMA PEROSAK HATI

LIMA PEROSAK HATI

Hati adalah pengendali. Jika ia baik, baik pula perbuatannya. Jika ia rosak, rosak pula perbuatannya. Maka menjaga hati dari kerosakan adalah nescaya dan wajib. Tentang perosak hati, Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan ada lima perkara, 'bergaul dengan banyak kalangan (baik dan buruk), angan-angan kosong, bergantung kepada selain Allah, kekenyangan dan banyak tidur.'

1)             Bergaul dengan banyak kalangan

Pergaulan adalah perlu, tapi tidak asal bergaul dan banyak teman. Pergaulan yang salah akan menimbulkan masalah. Teman-teman yang buruk lambat laun akan menghitamkan hati, melemahkan dan menghilangkan rasa nurani, akan membuat yang bersangkutan larut dalam memenuhi berbagai keinginan mereka yang negatif. Pada hari ini, kita sering menyaksikan orang yang tersasar kehidupannya gara-gara pergaulan. Biasanya hal ini disebabkan kerana sikap ‘cintakan dunia dan takut mati’. Dan memang, kehancuran manusia lebih banyak disebabkan oleh diri sendiri dan sikap manusia yang lain. Kesannya di akhirat kelak, banyak yang menyesal kerana salah pergaulan.

Allah berfirman:-
"Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya, dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku." (Al-Furqan: 27-29).

Allah berfirman:-
"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." (Az-Zukhruf: 67).
�Allah berfirman:-
"Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini. Kemudian di hari kiamat, sebahagian daripada kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian daripada kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu adalah Neraka, dan sekali-kali tidak ada bagimu para penolong." (Al-Ankabut: 25).

Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka persahabatan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci dan saling melaknati. �Kerana itu, dalam bergaul, berteman dan berkumpul hendaklah ‘ukuran yang dipakai adalah kebaikan’. Lebih tinggi lagi tingkatannya jika motivasi persahabatan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah.

2)             Larut dalam angan-angan kosong

Angan-angan kosong adalah lautan yang tidak bertepi. Ia adalah lautan tempat berlayarnya orang-orang yang rugi. Bahkan dikatakan, angan-angan adalah modal orang-orang yang rugi. Ombak angan-angan terus mengumbang-ambingkannya. Khayalan-khayalan dusta sentiasa mempermainkannya. Laksana ‘anjing yang sedang mempermainkan bangkai’. Angan-angan kosong kebiasaan menjurus kepada orang yang berjiwa kerdil dan rendah.

Masing-masing sesuai dengan yang diangankannya. Ada yang mengangankan menjadi raja atau ratu, ada yang ingin mengelilingi dunia, ada yang ingin mendapatkan harta kekayaan melimpah, atau isteri yang cantik jelita. Tapi itu hanya angan-angan belaka.

Adapun orang yang memiliki cita-cita tinggi dan mulia, maka cita-citanya adalah seputar ilmu, iman dan amal soleh yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Dan ini adalah cita-cita terpuji. Adapun angan-angan kosong adalah tipu daya belaka daripada syaitan laknatullah dan nafsu jahat dalam diri. Nabi memuji orang yang bercita-cita terhadap kebaikan.

3)             Bergantung kepada selain Allah

Ini adalah faktor terbesar perosak hati. Tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya daripada bergantung kepada selain Allah. Ia dinamakan syirik. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan dan memperingati diri sendiri dan ahli keluarga serta masyarakat supaya bertawakkal dan bergantung kepada Allah.

Allah berfirman:-
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surat At-Tahr: 6)

Jika seseorang bertawakkal kepada selain Allah maka Allah akan menyerahkan urusan orang tersebut kepada sesuatu yang ia bergantung kepadanya. Allah akan menghinanya dan menjadikan perbuatannya sia-sia. Ia tidak akan mendapat sesuatu pun daripada Allah, juga tidak dari makhluk yang ia bergantung kepadanya.

Allah berfirman:-
"Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka. Sekali-kali tidak, kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka." (Maryam: 81-82)

Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu). Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka. (Yasin: 74-75)

Maka orang yang paling hina adalah yang bergantung kepada selain Allah. Ia seperti orang yang berteduh dari panas dan hujan di bawah rumah labah-labah. Dan rumah laba-laba adalah rumah yang paling lemah dan rapuh.

Lebih dari itu, secara umumnya, asal dan pangkal syirik adalah dibangun di atas ketergantungan kepada selain Allah. Orang yang melakukannya adalah orang hina dan nista.

Allah berfirman:-
"Janganlah kamu adakan tuhan lain selain Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah)." (Al-Isra': 22)

Terkadang keadaan sebahagian manusia dipandang hina tetapi sebenarnya mulia di sisi Allah, seperti mereka yang dipaksa dengan kebatilan bukan dengan kehendak mereka. Sebahagian lagi terkadang tercela tetapi mendapat apa yang dihajati, seperti mereka yang berkuasa secara batil. Sebagian lagi terpuji dan menang, seperti mereka yang berkuasa dan berada dalam kebenaran. Adapun orang yang bergantung kepada selain Allah (musyrik) maka dia mendapatkan keadaan yang paling buruk dari empat keadaan manusia, yakni tidak terpuji dan tidak ada yang menolong.

4)             Makanan

Makanan perosak ada dua jenis, iaitu:-

Pertama,
·                 Tidak elok dari segi zat atau materialnya, dan ia terbahagi kepada dua kumpulan:-
o  Iaitu:- Yang diharamkan kerana hak Allah, seperti bangkai, darah, anjing, binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku tajam.
o  Iaitu:- Yang diharamkan kerana hak hamba, seperti barang curian, rampasan dan sesuatu yang diambil tanpa kerelaan pemiliknya, baik kerana paksaan, malu atau takut terhina.

Kedua,
·                     Merosakkan kerana melampaui had pengambilan. Seperti berlebihan dalam hal yang halal, kekenyangan melampaui batas. Sebab yang demikian itu membuatnya malas diri kita malas untuk melakukan amal ibadat dan perbuatan kerja-kerja atau amalan-amalan ketaatan kepada Allah. Terlalu sibuk dengan urusan perut untuk memenuhi hawa nafsu. Jika diri telah merasai kekenyangan, maka kita akan merasa berat dan malas dan seterusnya mudahlah diri kita mengikut jejak langkah syaitan.

Bak kata orang-orang berilmu:-
“Sesungguhnya, penyakit adalah disebabkan oleh perut (makan dan minum kita).

Syaitan masuk ke dalam diri manusia melalui aliran darah. Puasa mempersempit aliran darah dan menyumbat jalannya syaitan. Sedangkan kekenyangan memperluas aliran darah dan membuat syaitan suka dan riang memperdayakan manusia. Barangsiapa banyak makan dan minum, nescaya akan banyak tidur dan banyak merugikan diri.

Dalam sebuah hadits masyhur disebutkan:-
"Tidaklah seorang anak Adam memenuhi bencana yang lebih buruk dari memenuhi perutnya (dengan makanan dan minuman). Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap (makanan) yang boleh menegakkan tulang rusuknya. Jika harus dilakukan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya." (HR. At-Tirmidzi, Ahmad dan Hakim, disahihkan oleh Al-Albani).

5)             Banyak tidur
�Banyak tidur mematikan hati, memenatkan badan, menghabiskan waktu dan membuatkan kita lupa serta malas. Di antara tidur itu ada yang sangat dibenci, ada yang berbahaya dan sama sekali tidak bermanfaat. Sedangkan tidur yang paling bermanfaat adalah tidur ketika kepenatan untuk merehatkan akal fikiran dan badan.

Segera tidur pada malam hari lebih baik dari tidur ketika sudah larut malam. Tidur pada tengah hari (tidur siang) lebih baik daripada tidur di pagi hari. Bahkan tidur pada  pagi hari lebih banyak mudharatnya daripada manfaatnya. Di antara tidur yang dibenci adalah tidur antara solat Subuh sehingga terbitnya matahari. Sebab ia adalah waktu yang sangat baik untuk melakukan kerja-kerja kerana Allah. Dengan sebab itu, para ahli ibadah telah melewatkan sepanjang malamnya untuk berzikir dan melakukan ibadahnya. Mereka tidak tidur sehingga matahari terbit. Sebab waktu itu adalah waktu yang terlalu baik, sunyi dan udaranya begitu elok untuk kesihatan. Waktu pagi juga merupakan pintu siang, saat diturunkan dan dibahagi-bahagikan rezki oleh Allah S.W.T, saat diberikan barakah dan maghfirah oleh-Nya. Maka, dikatakan masa itu adalah masa yang mengepalai dan sangat menentukan masa-masa setelahnya. Dan tidur pada waktu itu seboleh-bolehnya hendaklah dielakkan kecuali terpaksa.

Secara umum, saat tidur yang paling tepat dan bermanfaat adalah pada pertengahan pertama dari malam, serta pada seperenam bahagian akhir malam ataupun sekitar lapan jam. Dan itulah tidur yang baik menurut pakar-pakar perubatan dan ahli kaji alam. Jika lebih atau kurang daripadanya maka akan memberi pengaruh kepada diri. Termasuk tidur yang tidak bermanfaat adalah tidur pada awal malam hari, setelah tenggelamnya matahari. Dan tidur pada waktu tersebut termasuk dalam waktu yang dibenci Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam.

No comments:

Post a Comment