Wednesday, November 8, 2017

KISAH TUKANG KASUT YANG DIKURNIAKAN PAHALA SEPERTI ORANG YANG MENUNAIKAN HAJI

Kata Guru yang mulia, Al-Fadhil Ustaz Nazrul Abd. Nasir Al-Azhari حفظه الله di dalam Tausiyahnya di Masjid Jami'ul Jalal Wal Kamal, Pajak Song (dengan sedikit olahan):

"Di dalam satu kisah dimana Al-Imam Abdullah bin Mubarak رحمه الله تعالى (nama penuh beliau, Abu Abdurrahman Abdullah bin Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi) yang digelar "Syaikhul Muhaddisin" (Ketua Ulama' Besar Hadis) pada zaman itu... Pada suatu hari, ketika Al-Imam Abdullah bin Mubarak رحمه الله تعالى sedang menunaikan Haji di Mekah, beliau tertidur dihadapan Ka'abah, waktu itu beliau bermimpi melihat dua Malaikat turun daripada langit & berlakulah perbualan diantara dua Malaikat tersebut... Kata dua Malaikat ini sesama mereka di dalam mimpinya itu;

"Tahun ini ada 60 ribu orang yang datang menunaikan Haji..."

"Adakah ibadah Haji mereka semua ini diterima oleh Allah Ta'ala?"

"Tidak, hatta tidak ada seorang pun daripada kalangan 60 ribu orang ini yang ibadah Hajinya diterima oleh Allah..."

Maka terkejutlah Al-Imam Abdullah bin Mubarak رحمه الله تعالى daripada tidurnya kerana beliau juga merupakan salah seorang daripada kalangan 60 ribu orang yang datang menunaikan Haji pada tahun itu... Beliau pun termenung seketika kerana memikirkan berkenaan mimpinya itu sehinggalah beliau tertidur semula & bersambung mimpinya yang tadi, beliau mendengar sambungan perbualan daripada dua Malaikat di dalam mimpinya, kata Malaikat itu;

"Namun begitu, Allah Ta'ala mengurniakan kepada 60 ribu orang yang datang menunaikan Haji ini, mendapat Haji yang Mabrur & diterima Haji mereka disebabkan keberkatan daripada seorang lelaki yang bernama Ali bin Muwaffaq yang tinggal di Kota Damaskus, Baghdad walaupun dia tidak datang menunaikan Haji..."

Dipendekkan cerita, setelah bangun daripada tidurnya itu, beliau terus menyiapkan kenderaannya untuk bertolak ke Baghdad... Sesampai sahaja disana, beliau segera mencari lelaki yang bernama Ali bin Muwaffaq ini... Akhirnya beliau berjaya mencari lelaki tersebut, rupanya lelaki ini bekerja sebagai Tukang Kasut... Lalu diketuknya pintu rumah lelaki itu & dibukalah pintu oleh lelaki tersebut... Beliau pun bertanya, "Adakah kamu ini Ali bin Muwaffaq?" Lelaki ini menjawab, "Ya, sayalah Ali bin Muwaffaq... Siapakah kamu wahai Tuan?"

Maka beliau pun memperkenalkan dirinya kepada lelaki tersebut, lalu terperanjatlah lelaki itu kerana yang sedang berdiri dihadapannya itu adalah Syaikhul Muhaddisin yang terkenal iaitu Al-Imam Abdullah bin Mubarak... Pengsanlah lelaki tersebut ketika itu... Setelah mana lelaki itu terjaga, Al-Imam Abdullah bin Mubarak bertanya kepada lelaki itu, "Tenangkanlah dirimu wahai Tuan, saya datang kesini untuk menziarahi kamu... Dan saya ingin bertanya kepada kamu, apakah amalan yang dilakukan oleh kamu sehinggakan 60 ribu orang yang datang menunaikan Haji pada tahun ini diterima Haji mereka oleh Allah Ta'ala?" Sambil beliau menceritakan berkenaan mimpinya...

Maka menangislah lelaki ini apabila mendengar pertanyaan beliau ketika itu... Lelaki ini menjawab, "Wahai Tuan, saya tidak ada apa² amalan yang khusus, cuma mungkin ia disebabkan satu perkara yang pernah saya lakukan..." Lelaki ini menceritakan kesemuanya, "Saya telah mengumpulkan duit untuk pergi menunaikan Haji selama 40 tahun dengan hasil daripada pekerjaan saya menjahit kasut... Setelah cukup duit sebanyak 350 dirham, saya pun segera menyiapkan segala kelengkapan untuk pergi menunaikan Haji...

Kebetulannya, isteri saya sedang sarat mengandung pada waktu itu, tiba² isteri saya terbau bau makanan yang dimasak oleh jiran saya... Maka mengidamlah isteri saya akan makanan jiran saya itu, jiran saya itu adalah seorang wanita yang sudah kematian suami & mempunyai anak kecil yang ramai... Saya pun pergilah ke rumah jiran saya & saya menyatakan hajat saya kepada jiran saya, "Minta maaf wahai jiranku, isteriku sedang mengandung, dia terbau akan makanan yang dimasak oleh kamu & dia mengidam akan masakanmu ini, jadi bolehkah saya ingin meminta sedikit daripada makanan kamu itu untuk diberikan kepada isteri saya?"

Lalu menangislah jiran saya ini & berkata kepada saya, "Wahai Tuan, makanan yang saya masak ini, halal bagi kami tetapi haram bagi kamu..." Saya pun bertanya, "Kenapakah makanan ini halal bagi kamu tetapi haram bagi kami? Bukankah kita ini sama² Muslim? Apa sahaja yang Muslim ini makan, maka halal lah makanan itu bagi Muslim yang lain?" Jiran saya menjawab, "Wahai Tuan, sebenarnya keluarga saya sudah beberapa hari tidak menjamah makanan kerana tidak ada duit... Anak² saya kelaparan, tetapi saya malu untuk memberitahu kepada jiran² bahawa keluarga kami ini sedang kelaparan... Ketika saya nak balik ke rumah, saya terjumpa seekor Keldai yang sudah mati ditepi jalan, saya ambil sedikit daripada daging Keldai itu untuk saya masakkan kepada keluarga saya...

Maka itulah satu-satunya makanan kami sebentar lagi..." Mendengar akan kisah jiran saya ini, saya terus balik ke rumah & saya ambil kesemua duit yang saya kumpulkan untuk pergi menunaikan Haji itu... Kemudian saya pergi semula ke rumah jiran saya lalu berkata kepada jiran saya, "Wahai jiranku, haram bagi saya untuk membiarkan sahaja jiran saya dalam keadaan kelaparan sedangkan saya boleh pergi menunaikan Haji dalam keadaan senang-lenang... Kamu ambil lah duit sebanyak 350 dirham ini untuk menyara kehidupan keluarga kamu... Inilah Haji saya pada tahun ini..."

MasyaAllah, Tuan² ada riwayat lain yang mengatakan bahawa, setelah mana beliau berjumpa dengan Tukang Kasut ini, Al-Imam Abdullah bin Mubarak رحمه الله تعالى bermimpi pada malam tersebut, bertemu dengan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم... Dan Baginda Nabi berkata kepada beliau dalam mimpinya itu, "Sebenarnya, keluarga wanita yang ditolong lelaki tersebut adalah merupakan keluarga cucuku, disebabkan lelaki ini menolong ahli keluargaku (Ahlul Bait), maka dia mendapat pahala sepertimana orang yang melakukan Haji & pahalanya itu akan dibahagikan kepada semua orang yang menunaikan Haji sehinggalah hari Kiamat..."

MasyaAllah, bayangkanlah jika dengan hanya memuliakan Ahlul Bait Sayyiduna Nabi صلى الله عليه وسلم sahaja pahalanya sangat besar, apatah lagi kalau kita memuliakan Penghulu kita, Sayyiduna Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم... Itulah kisah berkenaan seorang Tukang Kasut yang dikurniakan pahala sepertimana orang² yang pergi menunaikan Haji oleh Allah Ta'ala walaupun beliau tidak pergi menunaikan Haji disebabkan kerana beliau sanggup menolong & memuliakan Keluarga Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم..."

Moga bermanfaat...

Al-Faqir Ilallah,  Abu Fadhil Ridhauddin®
10 Zulhijjah 1438 H

سلسلة الحديثية الفلفلانية

Jom Subscribe Telegram Channel
@MajlisTaalimPPDHPP
https://t.me/MajlisTaalimPPDHPP

LiKe & SHaRe PaGe Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang
https://www.facebook.com/:-PPDHPP/

♢ LiKe & SHaRe PaGe Majlis Ta'lim Darul Hadis Pulau Pinang
https://www.facebook.com/mtdhpp/

♢ LiKe & SHaRe PaGe Al-Hawaari Resources
https://www.facebook.com/AlHawaariResources/

#RM10Seorang™
#MajlisTaalimPPDHPP
#MisiDanaPembangunanPPDHPP

No comments:

Post a Comment